PENGENALAN KEPADA KAJIAN TINDAKAN

Konsep Kajian Tindakan

Kajian tindakan merupakan satu proses sistematik dan reflektif yang dijalankan oleh pengamal profesional seperti guru, pengurus, atau pekerja komuniti yang bertujuan untuk menambah baik amalan praktis professional mereka, menyelesaikan masalah-masalah tertentu, ataupun meningkatkan hasil langsung secara menyeluruh dalam konteks profesionalisme kerja mereka. Berbeza dengan penyelidikan tradisional yang bertujuan untuk menghasilkan teori yang boleh digeneralisasikan, kajian tindakan ini lebih berasaskan kepada situasi dunia sebenar dan menumpukan kepada kaedah mencari penyelesaian praktikal yang boleh digunakan secara langsung. Kajian tindakan biasanya melibatkan proses seperti merancang, bertindak, memerhati, dan mereflek, dengan setiap kitaran proses dibina daripada pandangan yang diperoleh daripada kitaran sebelumnya. Dengan menggabungkan tindakan dan penyelidikan, kajian tindakan membolehkan pengamal professional menangani cabaran profesionalisme mereka disamping menjana pengetahuan baharu.

Pendekatan asas yang digunakan dalam kajian tindakan melibatkan kerjasama antara penyelidik dengan pihak yang terkesan secara langsung oleh masalah yang dikaji. Proses ini menggalakkan pihak berkepentingan untuk mengambil peranan aktif dalam mengenal pasti isu, menguji penyelesaian, dan menilai hasil, sekali gus menjadikan hasil kajian lebih relevan dan mudah digunakan. Memandangkan kajian tindakan menggabungkan penyelidikan dengan tindakan segera, kajian tindakan bukan sahaja menghasilkan data tetapi juga mendorong perubahan yang jelas dalam sesuatu amalan professional. Oleh itu, kajian tindakan amat bernilai dalam persekitaran yang dinamik di mana penambahbaikan berterusan adalah penting, seperti dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, dan pembangunan organisasi.

Kepentingan Penulisan Kajian Tindakan

Kepentingan kajian tindakan terletak pada kemampuannya untuk merapatkan jurang antara teori dan amalan professionalisme. Kajian tindakan memberdayakan pengamal untuk menjadi ejen perubahan dan bukan sekadar menerima kepakaran luar. Dengan terlibat secara langsung dalam persekitaran kerja mereka sendiri, mereka dapat menjana penyelesaian yang khusus mengikut konteks dan mampu bertahan lama. Kepekaan ini memastikan intervensi disesuaikan dengan keperluan, budaya, dan kekangan unik sesebuah tempat, sekali gus menghasilkan output yang lebih bermakna dan memberi kesan yang mendalam kepada pihak yang terlibat.

Selain itu, kajian tindakan juga memupuk budaya pembelajaran dan refleksi yang berterusan. Kajian tindakan menggalakkan pengamal professional melihat masalah bukan sebagai halangan, tetapi sebagai peluang untuk berkembang dan menambah baik. Melalui kitaran penyelidikan dan penyesuaian yang berulang, organisasi dan individu dapat membangunkan strategi yang adaptif dan kekal berkesan walaupun keadaan berubah. Komitmen terhadap amalan reflektif ini membantu membina daya tahan, menggalakkan inovasi, dan memajukan perkembangan profesional, yang akhirnya meningkatkan prestasi individu serta kejayaan bersama.

Perbezaan antara Kajian Tindakan, Kajian Tinjauan, Kajian Korelasi, dan Kajian Eksperimen

  1. Kajian Tindakan
  • Tujuan: Untuk menyelesaikan masalah secara praktikal atau menambah baik amalan profesionalisme dalam konteks tertentu melalui kaedah merancang, bertindak, memerhati, dan mereflek.
  • Pendekatan: Secara kolaboratif dan berulang; penyelidik terlibat secara langsung dalam melaksanakan perubahan.
  • Data: Gabungan data kualitatif dan kuantitatif, dikumpulkan sepanjang proses kitaran kajian
  • Contoh:
    Seorang guru mendapati murid sukar untuk terlibat dalam perbincangan berkumpulan. Guru tersebut mencuba pelbagai strategi pengajaran, mengumpul maklum balas daripada murid, memerhati hasilnya, dan menyesuaikan kaedah berulang kali untuk meningkatkan penyertaan.

 

  1. Kajian Tinjauan
  • Tujuan: Untuk mengenalpasti ciri-ciri, sikap, kepercayaan, atau tingkah laku sesuatu populasi pada satu jangka masa.
  • Pendekatan: Mengumpul data melalui soal selidik atau temu bual tanpa memanipulasi pemboleh ubah.
  • Data: Kebanyakannya kuantitatif, kadangkala kualitatif.
  • Contoh:
    Penyelidik menghantar soal selidik kepada 500 pelajar universiti untuk mengetahui sikap mereka terhadap pembelajaran dalam talian semasa pandemik bagi mengenal pasti trend umum.

 

  1. Kajian Korelasi
  • Tujuan: Meneroka hubungan antara dua atau lebih pemboleh ubah tanpa membuat kesimpulan tentang sebab-akibat.
  • Pendekatan: Mengukur pemboleh ubah dan menganalisis kaitannya.
  • Data: Kuantitatif.
  • Contoh:
    Satu kajian meneliti sama ada terdapat hubungan antara skor ketabahan (grit) murid dengan kesediaan mereka untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, menggunakan soal selidik dan analisis korelasi statistik.

 

  1. Kajian Eksperimen
  • Tujuan: Menentukan hubungan sebab-akibat dengan memanipulasi pemboleh ubah bebas dan mengukur kesannya terhadap pemboleh ubah bersandar.
  • Pendekatan: Penugasan rawak peserta kepada kumpulan kawalan dan kumpulan eksperimen, dengan intervensi dilaksanakan kepada satu kumpulan.
  • Data: Terutamanya kuantitatif, tetapi boleh merangkumi data kualitatif.
  • Contoh:
    Penyelidik membahagikan dua kumpulan pelajar secara rawak untuk menerima sama ada pengajaran bahasa secara tradisional atau pengajaran menggunakan chatbot AI, kemudian membandingkan peningkatan kemahiran bertutur mereka selepas 3 bulan.

Perbezaan Kajian Tindakan dengan Jenis Kajian Lain

Jenis kajian

Tujuan

Intervensi

Jenis Data

Contoh

Kajian Tindakan

Menyelesaikan masalah praktikal; menambahbaik amalan profesional

Ya (berulang)

Kualitatif + Kuantitatif

Guru menambah baik perbincangan berkumpulan dengan kaedah yang diulang berkali-kali (merancang, bertindak, memerhati dan merenung) yang bertujuan untuk membuat penambahbaikan berterusan.

Kajian Tinjauan

Menggambarkan sikap/tingahlaku

Tidak

Kebanyakannya Kuantitatif

Soal selidik mengenai sikap pelajar terhadap pembelajaran dalam talian

Kajian Korelasi

Meneroka hubungan

Tidak

Kuantitatif

Korelasi antara ketabahan dan kesediaan berkomunikasi

Kajian Eksperimen

Menguji hubungan sebab-akibat

Ya (terkawal)

Kuantitatif (boleh termasuk kualitatif)

Perbandingan kesan chatbot AI vs pengajaran tradisional terhadap kemahiran bertutur

X
Welcome to our website